#backtotop { padding:5px; position:fixed; bottom:10px;right:10px; cursor:pointer; }

Friday, 21 October 2011

KERTAS 2 - BAHAGIAN A (BINA AYAT)


BAHAGIAN A – PANDUAN MENJAWAB

LANGKAH 1
1.       Lihat ganbar dengan telitinya.
2.       Fikirkan 5 kata tanya ( siapa, apa, mana, mengapa, bagaimana )
·         Siapa – berkaitan dengan orang yang ada
·         Apa – berkaitan dengan aktiviti yang berlaku
·         Mana – berkaitan dengan tempat
·         Mengapa – berkaitan dengan sebab
·         Bagaimana – berkaitan dengan cara berlaku sesuatu

LANGKAH 2
Catatkan aktiviti – aktiviti atau perkara – perkara yang terdapat dalam gambar ( kata kerja ).

LANGKAH 3
Bina lima ayat yang lengkap berdasarkan aktiviti – aktiviti, situasi atau keadaantersebut.

LANGKAH 4
Baca semula ayat-ayat tersebut. Betulkan semua kesalahan tatabahasa, terutama dari segi penggunaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda bacaan dan ejaan.

Tulis lima ayat yang lengkap tentang aktiviti dalam gambar di bawah ini.

 
 
Jawapan Cadangan

  1. Sepasang suami isteri  membeli ikan di sebuah gerai ikan.
  2. Penjual ikan itu memasukkan ikan yang dibeli oleh pelanggannya ke dalam beg plastik.
  3. Seorang peniaga ikan di gerai yang lain pula sibuk menyusun ikan-ikan yang hendak dijualnya.
  4. Seorang peniaga daging  melapah daging yang tergantung di gerainya.
  5. Seorang pembantu gerai daging itu menimbang daging yang hendak dibeli oleh dua orang lelaki.

Thursday, 20 October 2011

LATIHAN- PILIH AYAT YANG BETUL

  1. Ibu memotong sayur dengan menggunakan sebilah pisau yang tajam.
  2. Abang dengan saya bermain bola di padang sekolah.
  3. Murni membaca buku rujukan dengan rajinnya.
  4. Pekerja membelah kayu api dengan kapak.
  5. Ali sependapat dengan Chong.
  6. Dengan dipujuk manis, barulah anaknya hendak pergi ke sekolah.
  7. Ibu menyapu dedaun kering di halaman rumah dengan penyapu lidi.
  8. Saya bersua dengan jiran lama saya di pameran buku.

Wednesday, 19 October 2011

DENGAN ( 4 )


Seterusnya, perkataan dengan membawa maksud perbandingan setara atau juga disebut sebagai perbandingan yang serupa/sama. Contohnya:

8. Wajahnya tidak sama derngan wajah kakaknya.
9. Tentu tidak sama emas tulen dengan emas suasa.

Timbul satu persoalan bahasa, iaitu bolehkah perkataan dengan dalam ayat ( 2) Ibu ke pasar dengan kakak, digantikan dengan perkataan dan menerbitkan bentuk ayat baharu (2a) Ibu dan kakak ke pasar, kerana maksud kedua-dua perkataan dengan dan dan dalam ayat itu sama, yakni membawa maksud bersama atau serta?
Boleh. Kedua-dua ayat (2) dan (2a) sama maksudnya, iaitu maksud bersama. Kedua-dua ayat ini betul dari segi binaan dan makna; yang membezakan kedua-dua ayat itu terletak pada penggunaan kata sendi nama dengan (ayat2) da kata hubung setara dan (ayat 2a)
Sebagai kata sendi nama, dengan merangkaikan frasa nama (kakak) dengan kata/frasa-frasa lain (ke pasar). Itulah tugas kata sendi nama. Sebagai kata hubung gabungan, dan menjalankan peranannya sebagai perkataan yang menghubungkan dua ayat atau lebih yang sama taraf sifatnya membentuk ayat majmuk gabungan setara (2a).
Ayat (2a) berasal daripada dua potong ayat dasar yang sama taraf, iaitu:

Ayat 1 : Ibu ke pasar
Ayat 2 : Kakak ke pasar
Kata hubung : dan
Proses gabungan : Ibu ke pasar + Kakak ke pasar
Ayat majmuk : Ibu dan kakak ke pasar.

Jelaslah bahawa kata hubung dan menggabungkan dua ayat, manakala dengan merangkaikan frasa. Kedua-duanya berbeza fungsi,namun kedua-duanya mempunyai maksud yang sama.

Tuesday, 18 October 2011

DENGAN ( 3 )

Kata sendi nama dengan juga digunakan untuk menyatakan makna keterangan cara. Dengan kata lain, perkataan dengan dapat menerangkan cara sesuatu itu dilakukan. Maksud ini tersirat dalam ayat-ayat contoh berikut:


6. Kita hendaklah memulakan makan dengan bacaan doa.
7. Dia belajar dengan rajinnya.


Harus diingat, kata adjektif rajin yang hadir selepas kata sendi nama dengan perlu dilengkapi dengan -nya, supaya menerbitkan frasa nama rajinnya. Fungsi -nya adalah sebagai pembenda, yakni menjadikan kata adjektif (rajin) berubah menjadi frasa nama dengan adanya kata pembenda -nya di hujungnya (rajinnya), sekali gus dapat menepati struktur frasa sendi nama yang terbentuk daripada kata sendi yang diikuti kata/frasa nama. Oleh itu, dalam konteks ini, perkataan dengan ialah kata sendi manakala rajinnya ialah kata/frasa nama.

Monday, 17 October 2011

DENGAN ( 2 )

 Kata sendi nama dengan dapat digunakan dalam ayat untuk membawa maksud memakai atau menggunakan sesuatu sebagai alat. Contohnya:

4. Fikiri membelah kayu dengan kapak.
5. Ibu menyapu sampah dengan penyapu lidi.

  Oleh sebab perkataan dengan dalam kedua-dua ayat di atas membawa maksud menggunakan atau memakai maka perkataan 'menggunakan' tidak perlu lagi hadir mengikuti perkataan dengan membentuk frasa dengan menggunakan, kerana bentuk yang demikian itu dianggap lewah. Tambahan pula, kata sendi nama dengan harus diikuti oleh kata/frasa nama, bukan kata kerja menggunakan untuk membentuk binaan frasa sendi nama. Oleh itu ayat (4a) dan (5a) yang berikut dianggap tidak persis:

4. (a) Fikiri membelah kayu dengan menggunakan kapak.
5. (a) Ibu menyapu sampah dengan menggunakan penyapu lidi.





back to top