#backtotop { padding:5px; position:fixed; bottom:10px;right:10px; cursor:pointer; }

Wednesday 9 November 2011

"Perhatian" dan "Pemerhatian"



                Pengguna bahasa Melayu bukan sahaja terkeliru dalam penggunaan kata terbitan yang tergolong sebagai kata kerja tetapi juga kata terbitan yang tergolong sebagai kata nama. Kekeliruan dalam penggunaan kata perhatian dan pemerhatian yang tergolong segbagai kata nama adalah antara contoh yang pernah saya temukan, khususnya dalam media cetek dan media elektronik. Barangkali anda pernah membaca ayat yang sedemikian:

1.       *Walaupun dibebaskan oleh pihak mahkamah, pesalah juvana itu akan diletakkan di bawah perhatian polis. 
2.       *Perhatian yang dibuat oleh beberapa orang aktivis masyarakat menunjukkan bahawa pengabaian agama adalah punca keruntuhan moral dalam kalangan remaja.

                Apakah maksud kedua-dua ayat di atas yang sebenarnya? Ayat  1 bermaksud pesalah juvana itu akan terus berada di bawah “pengawasan” polis walaupun dia dibebaskan oleh pihak makhmah. Ayat  2 pula bermaksud bahawa menerusi “pengamatan” penulis, beliau mendapati pengabaian didikan agama menjadi punca berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Persoalannya, benarkah kata perhatian dalam kedua-dua ayat tersebut mendukung maksud “pengawasan” dan “pengamatan”?

                Yang sebenarnya kata perhatian bukanlah kata yang tepat untuk kedua-dua ayat tersebut. Kata yang tepat ialah pemerhatian. Hal ini bermakna, ayat-ayat tersebut harus diungkap atau ditulis seperti yang berikut:

1.       Walaupun dibebaskan oleh pihak mahkamah, pesalah juvana itu akan diletakkan di bawah pemerhatian polis. 
2.       Pemerhatian yang dibuat oleh beberapa orang aktivis masyarakat menunjukkan bahawa pengabaian agama adalah punca keruntuhan.

                Daripada segi makna, kata perhatian bermaksud “keinginan atau kesukaan terhadap sesuatu, minat ( reaksi atau layanan dan sebagainya)”. Kata pemerhatian pula bererti “perbuatan memandang atau melihat dengan cermat” ; “perbuatan mengamati-amati, pengamatan” ; perbuatan mengambil peduli”.

                Contoh bagaimana kata yang sedang kita bincangkan ini patut digunakan dengan betul adalah seperti yang berikut ini:
  1.  Kelunakan suara biduaniti itu menarik perhatian beberapa orang composer terkenal tanah air.
  2. Setiap ibu bapa mestilah memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak mereka.
  3. Melalui pemerhatian guru, pelajar yang petah berpidato itu layak dipilih sebagai pemidato terbaik dalam pertandingan itu.
  4. Setelah beberapa lama melakukan pemerhatian dan percubaan barulah diketahui bahawa air sungai itu dicemeri oleh merkuri.

No comments:

Post a Comment

back to top