#backtotop { padding:5px; position:fixed; bottom:10px;right:10px; cursor:pointer; }

Thursday, 10 November 2011

SOALAN PEMAHAMAN

Baca petikan di bawah ini, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

     Pernahkah adik-adik melihat gerhana matahari? Tahukah adik-adik bagaimanakah gerhana matahari terjadi? Buat pengetahuan adik-adik, gerhana matahari berlaku disebabkan oleh gerakan bulan mengelilingi bumi. Kedudukan bulan serta bumi pula berubah-ubah dalam orbitnya. 
     Fenomena gerhana matahari berlaku pada waktu siang, iaitu ketika bulan berada antara bumi dengan matahari. Keadaan ini menyebabkan sebahagian cahaya matahari ke permukaan bumi terhalang oleh bulan. 
    Sepanjang tempoh berlakunya gerhana matahari ini, bulan akan membentuk dua bayang-bayang terhadap bumi, iaitu bayang umbra dan bayang penumbra. Bayang umbra yang penuh dan gelap hanya akan mencapai sebahagian kecil ke permukaan bumi, manakala bayang penumbra separa dan malap. Namun, masih ada sedikit cahaya akan sampai ke bumi lebih besar berbanding dengan umbra. Hal yang demikian ini menyebabkan langit akan menjadi gelap secara perlahan-lahan.
    Buat pengetahuan adik-adik, gerhana matahari berlaku dalam dua keadaan, iaitu gerhana penuh dan gerhana separa. Gerhana penuh terjadi ketika bulan melindungi seluruh matahari. Gerhana separa pula terjadi ketika bulan hanya menutupi sebahagian matahari. Gerhana matahari penuh jarang-jarang berlaku. Kemungkinan adik-adik dapat menyaksikan gerhana ini sekali dalam seumur hidup
     Sekiranya adik-adik ingin melihat gerhana matahari, jangan sekali-kali melihat dengan mata yang terdedah. Lihatlah dengan menggunakan medium-medium lain seperti cermin mata hitam, teleskop, televisyen, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana sinaran cahaya matahari dapat merosakkan retina mata yang akhirnya mata akan menjadi buta.

 1  Gerhana matahari berlaku…
A disebabkan oleh gerakan bulan mengelilingi bumi.
B apabila kedudukan bumi berubah-ubah dalam orbitnya.
C ketika bulan berada dekat dengan matahari pada waktu siang.
D apabila cahaya matahari ke permukaan bumi terhalang oleh bulan.

2  Bagaimanakah gerhana penuh terjadi?
A ketika bayang umbra menutupi sebahagian kecil permukaan bumi.
B ketika langit menjadi gelap secara perlahan-lahan.
C ketika bulan melindungi seluruh matahari.
D ketika bulan menutupi sebahagian daripada matahari.

3 Frasa kata seumur hidup dalam petikan bermaksud…
A hidup sekali.
B hidup sekali umur.
C sepanjang umur yang hidup.
D sepanjang hayat.

4  Perkara apakah yang ditegah ketika melihat gerhana matahari?
A menonton melalui kaca televisyen
B memakai cermin mata hitam
C melihat dengan mata terdedah
D menggunakan teleskop

5 Penyataan yang berikut adalah benar tentang petikan, kecuali
A gerhana matahari berlaku pada waktu siang, iaitu ketika bulan berada antara bumi dengan matahari.
B bayang penumbra ialah bayang yang separa dan malap.
C gerhana matahari penuh berlaku setiap lima tahun sekali.
D langit akan menjadi gelap ketika berlaku gerhana matahari.

Wednesday, 9 November 2011

"Perhatian" dan "Pemerhatian"



                Pengguna bahasa Melayu bukan sahaja terkeliru dalam penggunaan kata terbitan yang tergolong sebagai kata kerja tetapi juga kata terbitan yang tergolong sebagai kata nama. Kekeliruan dalam penggunaan kata perhatian dan pemerhatian yang tergolong segbagai kata nama adalah antara contoh yang pernah saya temukan, khususnya dalam media cetek dan media elektronik. Barangkali anda pernah membaca ayat yang sedemikian:

1.       *Walaupun dibebaskan oleh pihak mahkamah, pesalah juvana itu akan diletakkan di bawah perhatian polis. 
2.       *Perhatian yang dibuat oleh beberapa orang aktivis masyarakat menunjukkan bahawa pengabaian agama adalah punca keruntuhan moral dalam kalangan remaja.

                Apakah maksud kedua-dua ayat di atas yang sebenarnya? Ayat  1 bermaksud pesalah juvana itu akan terus berada di bawah “pengawasan” polis walaupun dia dibebaskan oleh pihak makhmah. Ayat  2 pula bermaksud bahawa menerusi “pengamatan” penulis, beliau mendapati pengabaian didikan agama menjadi punca berlakunya keruntuhan akhlak dalam kalangan remaja. Persoalannya, benarkah kata perhatian dalam kedua-dua ayat tersebut mendukung maksud “pengawasan” dan “pengamatan”?

                Yang sebenarnya kata perhatian bukanlah kata yang tepat untuk kedua-dua ayat tersebut. Kata yang tepat ialah pemerhatian. Hal ini bermakna, ayat-ayat tersebut harus diungkap atau ditulis seperti yang berikut:

1.       Walaupun dibebaskan oleh pihak mahkamah, pesalah juvana itu akan diletakkan di bawah pemerhatian polis. 
2.       Pemerhatian yang dibuat oleh beberapa orang aktivis masyarakat menunjukkan bahawa pengabaian agama adalah punca keruntuhan.

                Daripada segi makna, kata perhatian bermaksud “keinginan atau kesukaan terhadap sesuatu, minat ( reaksi atau layanan dan sebagainya)”. Kata pemerhatian pula bererti “perbuatan memandang atau melihat dengan cermat” ; “perbuatan mengamati-amati, pengamatan” ; perbuatan mengambil peduli”.

                Contoh bagaimana kata yang sedang kita bincangkan ini patut digunakan dengan betul adalah seperti yang berikut ini:
  1.  Kelunakan suara biduaniti itu menarik perhatian beberapa orang composer terkenal tanah air.
  2. Setiap ibu bapa mestilah memberikan perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada anak-anak mereka.
  3. Melalui pemerhatian guru, pelajar yang petah berpidato itu layak dipilih sebagai pemidato terbaik dalam pertandingan itu.
  4. Setelah beberapa lama melakukan pemerhatian dan percubaan barulah diketahui bahawa air sungai itu dicemeri oleh merkuri.

Tuesday, 8 November 2011

KOSA KATA - KATA KERJA


1. menuang air kopi
2. melipat pakaian
3. bermain anak patung
4. mengusap bulu kucing
5. menggosok seluar
6. menyiapkan kerja sekolah
7. menyimpan buku
8. mengecat papan luncur
9. menyulam alas meja
10. mengait baju sejuk

EJAAN AKAN DIADAKAN PADA 9 NOVEMBER 2011 ( RABU)
1.倒咖啡
2.折衣服
3.玩洋娃娃
4.抚摸猫
5.烫裤
6.做功课
7.收书
8.油漆滑板
9.刺绣桌布
10.钩织毛衣


Sunday, 6 November 2011

SIKAP & SAHSIAH GURU

PERANAN GURU TERHADAP DIRI SENDIRI DAN KERJAYA

Ø      Memahami segala bidang tugas
Ø      Berpegang dan perbetulkan niat dalam  menjalankan tugas
Ø      Berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran
Ø      Sanggup berkorban
Ø      Motivasikan diri dan menilai kerjaya sendiri  

PERANAN GURU TERHADAP PARA PELAJAR

Ø      Mengajar melalui proses pembelajaran terancang
Ø      Membimbing cara belajar berkesan
Ø      Membimbing teknik menjawab dalam peperiksaan
Ø      Memberi analisis soalan tahun-tahun lepas dan soalan ramalan
Ø      Menasihati dan memotivasikan semangat belajar para pelajar
Ø      Mencipta hubungan baik dengan anak didik
Ø      Mewujudkan hubungan baik dengan ibu bapa pelajar
Ø      Memberikan latihan sebagai latih tubi dan menandanya.   
Ø      Membentuk sahsiah dan disiplin para pelajar
Ø      Membantu menyelesaikan semua masalah peribadi pelajar


Saturday, 5 November 2011

PEMILIHAN BAHAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BAHASA

KONSEP PEMILIHAN BAHAN

Pemilihan ialah proses mencari bahan-bahan yang dihasilkan dan sesuai dengan objektif pengajaran dan pembelajaran. Pemilihan bahan ini biasanya dipengaruhi oleh tujuan, kegunaan, tingkat pencapaian pelajar dan jangka masa sesuatu pengajaran.

PRINSIP PEMILIHAN BAHAN

Erickson dan Curl (1972:66), Khaririah Ahmad (1980:4-9), Noraziah Abdul Hamid (1989:120), Kamarudin Husin (1986:240-244), Mat Nor Husin,et al.(1988:5) dan Leela Mohd Ali dan graham Thurgood(1991) telah memberikan beberapa garis panduan pemilihan bahan pengajaran. Berdasarkan beberapa garis panduan yang dikemukakan, dapatlah dirumuskan bahawa prinsip-prinsip pemilihan bahan pengajaran bahasa adalah seperti yang berikut:

  1. Sesuai
  2. Mencabar
  3. Menepati
  4. Menarik
  5. Jimat dan mudah
  6. Praktikal
  7. Mudah alih
back to top